Selasa, September 24, 2013

Kueh Kaswi


Salam semua.. pagi tadi sempat juga membuat kueh Kaswi atau Kosui, yang menjadi salah satu kueh kegemaran saya, Senang dimasak tapi malas nak membuatnya... begitulah.. bukan apa masih tak expert lagi dalam kueh mueh ni...kalau diperhatikan pada resipi resipi yang dipostkan diblog blog, masing masing mempunyai cara dan gaya sendiri.. interesting juga... kerana ada yang memasukan kicap kedalam adunan ini, mungkin untuk menghitamkan adunan.. dan penggunaan kapur juga di masukan pada adunan ini.
Setelah diamat amati.. saya buat tanpa menggunakan kapur atau kicap, kerana pada saya, tekstur semasa membancuh adunan ini haruslah diperhatikan.

Memandangkan hidangan ini hanya sesuai untuk 2-3 orang sahaja, maka saya hanya agak agak saja sukatannya, tapi menjadi pula, Alhamdulilah...lain kali boleh rajin rajin kan diri lagi, kerana memang senang nak membuatnya, soalnya hendak buat atau tidak itu saja...Tak banyak pula bahan yang diperlukan, hanya sirap gula merah yang dibancuh bersama tiga jenis tepung iaitu tepung gandum, tepung jagung dan tepung ubi, kemudian dimasak sebentar diatas api dan terus di kukus.. itu saja. Ia kemudian boleh dihidangkan samada dengan menggaulkannya atau meletakan saja kelapa diatas.


Bahan Bahan
2 cawan (250 ml) gula merah
2 cawan (250 ml) air
1 helai daun pandan (disimpul)
1/2 cawan (125ml) tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan tepung ubi
1 cawan kelapa parut yang dicampurkan bersama sedikit garam.

1. Dalam periuk yang kecil masukan gula merah, daun pandan dan air, masak hingga menjadi larut dan sejukan.
2. Ayakan kesemua tepung kedalam satu bekas dan tuangkan air gula merah dan kacau hingga sebati.
3. Masukan kedalam periuk yang kecil dan kacau hingga naik wap.
4. Sediakan dahulu pelengat dengan air yang secukupnya dan tapiskan adunan tadi kedalam acuan yang disapukan dengan sedikit minyak atau bekas berukuran 6x6 inci atau 3x6 inci dan kukus selama 25-30 minit. Untuk menjamin ia benar benar masak, cucukan dengan menggunakan garpu atau pencungkil dan pastikan bahagian tengahnya benar bersih bila dikeluarkan. Sejukan, potong dan hidangkan bersama kelapa parut.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan