Ahad, April 13, 2014

Bun kismis & Walnut

Hari ini, meroti lagi... seronok pula buat roti, boleh main dengan yis, sambil uli menguli, suka tengok doh yang mengembang dua kali ganda dari saiz permulaannya. Lepas tu kalau nak tambahkan bahan tambahan terpulanglah.. kali ini dibuat pula dengan penambahan kismis dan walnut. Bun begini memang sesuai untuk breakfast dan menjadi favorite saya pula.


Cara yang dibuat kali ini berlainan sedikit sewaktu mengadunnya, kerana dipelajari dari posting dan tips dari blogger lain untuk mendapatkan tekstur yang lebih lembut dan gebu.. Terima kasih lah pada mereka yang sudi dan tidak kedekut dengan ilmu yang diberi, semoga Allah memberi rahmat ke atas mereka.. Walaupun teknik membuat bun dari resipi pertama  digunakan iaitu dengan penggunaan susu yang dicairkan bersama butter, perbezaannya ialah sewaktu mengulikan doh kerana ia lebih melekit sebabkan tambahan minyak zaitun ke dalam adunan dan tekstur doh pula harus berminyak sebelum dibiarkan selama lebih kurang 40 minit hingga satu jam sebelum di bentukan dan biarkan naik semula sebelum dibakar. Kalau tak ada minyak zaitun gunakan saja minyak sunflower.


Bahan Bahan kering
2 cawan tepung protin tinggi (High protein)
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil emplex (pelembut roti)
1 cawan gula halus
1 cawan kismis
1/2 cawan kacang walnut

1 biji telur (untuk sapuan)

Bahan Basah
1 cawan susu cair
1 sudu besar butter/vitalite
1 sudu besar yis kering
1 biji telur

1 sudu besar minyak zaitun (semasa menguli)


1. Satukan bahan kering dalam mangkuk yang besar, kacau rata dan ketepikan.
2. Panaskan susu dan butter/vitalite hingga cair sejukan sedikit (suam kukuk)
3. Masukan yis pada adunan susu, biarkan seketika hingga berbuih.
4. Masukan sebiji telur, kacau rata.
5. Tuangkan pada adunan kering, uli hingga sebati (taburkan sedikit tepung jika perlu)
6. Uli sebanyak mungkin, tambahkan minyak zaitun, uli dan bulatkan.
7. Tutup dan biarkan adunan selama satu jam hingga ia kembang (dua kali ganda)
8. Tumbuk untuk keluarkan udara, uli seketika.
9. Bentuk bulat kecil, susun didalam acuan yang disapukan minyak (lakukan hingga habis), biarkan seketika hingga ia kembang semula.
10. Sapukan permukaan roti dengan telur yang dipukul, letakan walnut diatasnya.
11. Bakar selama 15 minit pada suhu 180 darjah C.

@@ Panaskan oven terlebih dahulu sebelum memasukan adunan selama 10-15 minit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan