Selasa, April 04, 2017

Muffin Pisang Kismis


Salam semua.. lama benar dah tak buat muffin,  teringin pula rasanya nak buat sesuatu dari pisang kerana MM perhatikan banyak benar pisang yang kini terjual digerai gerai kecil apabila melaluinya. Dapatlah juga 2 ikat gitu, Mak ooi harga pisang dan barangan lain kini tersangatlah mahal dan banyak bezanya dari tahun yang terdahulu,  pisangnya pula kecil kecil benar, hmmm.. tak tahulah berapa lama kita harus melalui zaman yang makin melambung naik harga barang keperluan makanan sekarang melainkan kita sendiri yang menanamnya.  Hidup tetap diteruskan, makan tetap kena makan, tapi MM masih merasakan kesedihan pada mereka yang hidup susah dan melarat kerana sesuap nasi.  Walaupun begitu MM masih bersyukur kehadrat ilahi kerana rezeki ada dimana mana, hanya pandai pandailah kita berusaha mendapatkanya dengan secara yang halal sudah, ini harus ditekankan kerana anak anak muda kini mudah terlupa dengan jati diri mereka.

Berbalik kepada pembuatan muffin ini,  saperti biasa MM cuba mempelbagaikan juga cara membuatnya, kerana dengan cara begini, MM ingin mencuba sama ada ia berjaya menghasilkan 2 jenis resepi daripada satu resepi, maka tidak payahlah nak susah susah nak cari resepi untuk setiap apa yang diinginkan. Satunya MM membuat Muffin dan sedikit lagi dari bancuhan yang lebih MM cuba membuat lempeng pisang atau pancake gitu, tidak banyak pun yang dapat, kerana hanya ingin mencubanya. 


Muffin ini memang lembut dan gebu gitu, MM pun suka dan puas hati dengan resepi yang MM cuba sendiri.  Ia hanya memerlukan 1 mangkuk  untuk bahan kering dan 1 lagi mangkuk untuk bahan basah, kemudian disatukan, mudah gitu.


Dalam satu bekas yang sederhana besarnya, ayak  satu cawan  tepung gandum bersama 1 sudu kecil, soda bikabonat,  serbuk penaik dan satu sudu kecil garam, gaul rata dan ketepikan.


Didalam satu bekas yang lain pula, MM menggunakan sebanyak 10 biji pisang emas, yang bersaiz kecil, untuk dilenyekatau dihancurkan dengan menggunakan 'whisk' atau boleh saja membuatnya dengan menggunakan garfu, tidak perlu melenyeknya dengan begitu hancur, kerana MM lebih gemar jika dapat merasakan sedikit ketulan pisang dan kismis pada muffin ini. 


Kemudian ditambahkan pula dengan gula, susu, vanilla dan sebiji telur. Bahan ini semua dikacau sebati, sedikit buah kismis kuning juga dmasukan kedalam bancuhan ini.


                             

Setelah dikacau sebati, masukan   bahan tepung yang telah diayak tadi, sedikit demi sedikit, kacau rata hingga sebati.


Panaskan dahulu oven, selama 10 minit pada suhu 150 darjah C, kemudian, sediakan acuan muffin, Sapukan sedikit minyak pada acuan, Masukan sebanyak 2 sudu besar adunan yang dibancuh untuk memenuhi mangkuk acuan muffin, bakar selama 20-25 minit hingga kekuningan, ia menghasilkan 6 -8 biji muffin yang sesuai untuk family yang kecil. Lebihan dari bancuhan tadi MM telah membakarnya diatas kuali leper dengan sedikit minyak,sahaja untuk membuat lempeng gitu.. jadi jugalah nampaknya.


Bahan Bahan Kering (diayak)
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil soda bikabonat
1 sudu kecil serbuk penaik (baking soda)
1 sudu kecil garam

Bahan Bahan Basah
1 biji telur
50 ml susu cair
1/2 cawan gula
1 sudu kecil vanila
10 biji pisang emas (dilenyek kasar)
1/2 cawan kismis kuning

Tiada ulasan:

Catat Ulasan