Khamis, Mei 15, 2014

Bihun Goreng


Salam pagi jumaat yang agak mendung dengan kicauan burung diluar sana.. satu keadaan yang patut kita syukuri atas nikmat Allah yang masih memberi kita nafas sehari lagi agar kita masih lagi dapat melakukan yang terbaik buat diri kita selagi kita dapat bermuhasabah diri dengan segala nikmat yang diberi. 

Kicauan burung yang menandakan betapa sukanya mereka menyambut pagi yang shahdu seolah olah satu kegembiraan buat mereka, tetapi adakan dapat kita rasakan nikmat sebegitu.. mungkin tidak, kerana hidup ini banyak ditentukan keatas kewajipan yang harus dilakukan, yang penting cara dan bagaimana harus kita rasakan ketenangan sambil meneruskan sesuatu pekerjaan pada setiap hari yang dilalui..  Pentingnya adalah memohon diberikan ketenangan dan berzikir setelah solat subuh, itulah saja yang dapat kita praktikan sehari hari..  Moga kehidupan kita diberkati selalu.


Hari ini berjuadah dengan bihun goreng yang mudah, tiada udang, tiada ayam atau daging.. vegetarian begitu... isinya dipenuhi dengan gorengan taukua dan telur goreng serta daun bawang.. itu pun cukup untuk melengkapkan bihun ini, yang penting pada setiap masakan adalah rasa dan tekstur masakan itu. Tidak banyak bahan perasa pun hanya cili boh, gula perang dan garam.. sedikit penambahan butter dimasukan memandangkan stok minyak dirumah ini hampir habis, lagipun hari itu semasa membuat kek masih ada lagi butter yang dicairkan, jadi untuk menghabiskan dicampurkan sahaja semasa menggorengnya.

Bahan Bahan
4 paket bihun (jenis halus - direndam hingga lembut)
2 keping taukua (dihiris kecil)
1 biji tomato (hiris kecil)
3 batang daun bawang (hiris halus)
1 biji telur (dadar)
1 cili merah (hiris halus)
1/2 cawan bawang goreng (untuk taburan)

Bahan Bahan Tumis
1 labu bawang besar/4-5 ulas bawang kecil
2 ulas bawang putih
2-3 sudu besar cili boh
2 sudu kecil gula perang
1 sudu besar butter (terpulang)
1-2 cawan air
2 sudu besar minyak
Sedikit garam

1. Panaskan kuali dengan sedikit minyak, dadarkan telur yang dipukul dengan sedikit garam, ketepikan.
2. Tambahkan sedikit minyak, goreng taukua hingga garing, angkat dan ketepikan.
3. Tambahkan butter pada minyak (anggarkan minyak) tumis bawang merah, bawang putih hingga terbit bau.
4. Masukan cili boh, kacau rata hingga terbit minyak, masukan air, renih hingga hampir mendidih.
5. Masukan garam, gula kacau sebati dan masukan tomato dan bihun, goreng hingga sebati.
6. Masukan taukua dan telur dan daun bawang, kacau rata dan biarkan bihun menjadi lembut. (tambahkan air jika perlu)
7. Hidangkan dengan taburan daun bawang, bawang goreng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Lain Lain resipi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...