Salam semua.. satu hidangan untuk hari kelima puasa. Nasi Makloubeh atau Maklouba.. hmm .. nasi yang dimaksudkan adalah nasi bersama campuran sayuran bersama ayam atau daging didalam nya. Hidangan orang orang arab gitu.. Mudah membuatnya kerana ianya terus dimasak dari dalam periuk nasi elektrik sahaja. Malah tidak perlu banyak bahan yang dicampurkan didalamnya, tetapi sedikit olahan dibuat dengan campuran kismis dan daun ketumbar untuk mencantikan hidangan. Beras yang digunakan adalah beras Kohinoor Basmathi. Untuk mendapatkan kelembutan nasi, anggaran air yang digunakan adalah satu cawan beras bersamaan 2 cawan air/stok ayam.
Bermula dengan beberapa ketul ayam, khas untuk hidangan 4 orang, ayam sebanyak 8-10 ketul digunakan. Setelah ayam dibersihkan, kulit dibuang kemudian diperapkan bersama rempah saperti rempah kari atau boleh gunakan saja rempah beriani, ditambahkan pula serbuk jintan manis, jintan putih, kunyit, serbuk cili, lada hitam, minyak dan garam. Ayam diperap selama 1 jam atau lebih (kerana lebih lama lebih sedap). Sedikit olahan pada resipi ini bila ditambahkan daun ketumbar yang dihiris semasa perapan. Beras Basmathi juga harus direndam selama 1 jam sebelum dimasak.
Sementara ayam diperap dan beras direndam, mulakan dengan memotong satu biji terung yang dipotong nipis dan bulat. Panaskan sedikit minyak, goreng ubi kentang dan terung hingga kekuningan, angkat dan toskan pada kertas dapur.
Seterusnya, periuk nasi dipanaskan. Masukan 2 sudu besar minyak sapi, tumiskan ayam yang diperap tadi hingga ayam bertukar warna, dan masukan air lebihan dari ayam yang diperap, kacau seketika hingga ayam kekuningan.
Setelah ayam kekuningan, susun ubi kentang dan terung yang telah digoreng tadi diatas ayam yang ditumis bersama hirisan tomato.
Masukan beras yang telah ditoskan diatas ubi kentang, terung dan tomato tadi. Bancuhkan 4 cawan air bersama dengan satu kiub ayam Maggi dan tambahkan sedikit garam dan kacau. Tuangkan air kedalam periuk nasi, tutup dan biarkan ia masak sendiri.
Jika anda menghadapi masaalah kelembutan pada nasi yang dimasak, tips untuk hari ini, adalah tambahkan sahaja dengan 1/4 cawan air ke dalam periuk nasi, tekan semula suis pada mode masak, kacau dan biarkan ia dimasak semula. Hidangkan sahaja nasi dengan penambahan daun ketumbar yang dihiris dan sedikit taburan kismis.
Bahan Bahan
10 ketul ayam (dipotong kecil dan dibuang kulit)
2 pot/cawan beras Basmathi (Kohinoor) dibasuh dan direndam selama 1 jam
1 biji ubi kentang (dihiris bulat)
1 biji terung hijau/unggu (dihiris nipis dan bulat)
1 biji tomato (dihiris nipis dan bulat))
4 pot/cawan air
1 kiub perasa ayam Knorr (dibancuh dengan air diatas)
1 cawan daun ketumbar (dihiris halus)
1/2 cawan kismis
2 sudu besar minyak sapi
Bahan Perapan
4 ulas bawang putih (diumbuk bersama halia)
1/2 inci halia
1 sudu besar rempah kari/beriani
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan halus
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
1/4 sudu kecil lada hitam
sedikit daun ketumbar
1 sudu kecil garam
2-3 sudu besar minyak sapi/sayuran
1. Perapkan ayam dengan bahan perapan selama satu jam, tutup dan biarkan.
2. Panaskan kuali dengan sedikit minyak, goreng ubi kentang dan terung hingga garing.
3. Panaskan periuk nasi (elektrik) dengan 2 sudu besar minyak sapi.
3. Masukan ayam yang telah diperap, kacau hingga bertukar warna dan masukan air lebihan perapan.
4. Susun ubi kentang dan terung diatas. Masukan beras, tuangkan air yang dibancuh bersama kiub ayam. Tekan kan suis pada mode masak dan biarkan ia tanak sendiri.
5. Hidangkan bersama kismis dan hirisan daun ketumbar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan